Sunday, July 12, 2009

MENCARI MASA BERSAMA

Suami sibuk. Isteri sibuk. Dalam kesibukan itu, kadang-kadang suami atau isteri "terlepas pandang" dan gagal memberikan masa bersama yang secukupnya kepada pasangan masing-masing. Akhirnya, dia merasakan dirinya diabaikan.

Masa bersama yang dimaksudkan di sini ialah masa di mana pasangan suami-isteri menghabiskan masa berdua tanpa gangguan anak-anak, pekerjaan atau kawan-kawan. Mereka mungkin menghabiskan masa bersama di ruang tamu, di bilik tidur, melakukan kerja-kerja rumah berdua-duaan, berehat atau bersiar-siar bersama.

Cuba renung kembali, berapa banyakkah masa bersama yang anda berikan kepada pasangan anda sepanjang hari. Masa bersama inilah yang harus digunakan untuk membelai kasih dan memupuk cinta. Sekiranya sebelum berkahwin, anda telah memberikan masa untuk sentiasa berdua, tentunya masa sedemikian juga wajar diberikan setelah anda berumahtangga.

Ada orang cuba menjustifikasikan ketidakcukupan masa ini dengan berkata, "Saya tidak mementingkan kuantiti, tetapi kualiti masa yang diberikan." Biarlah saya katakan bahawa kualiti dan kuantiti masa adalah sama penting; itu pun sekiranya kedua-dua pihak boleh bersetuju dengan apa yang diistilahkan dengan "masa yang berkualiti".

Di sini saya cadangkan lima cara bagaimana untuk menentukan anda mempunyai bersama secukupnya:

1. Masukkan aktiviti harian bersama pasangan anda dalam jadual harian. Usah layani pasangan anda hanya apabila anda mempunyai lebihan masa (selepas ditolak aktiviti kerja dan bersama kawan-kawan di luar). Ayat-ayat seperti, "Abang tak dapat pergi shopping dengan Ani hari ni kerana ada janji dengan kawan" menunjukkan bahawa anda tidak meletakkan masa bersama pasangan sebagai suatu keutamaan.

2. Bahagikan masa secukupnya untuk pasangan. Walau bagaimana sibuknya jadual harian anda, tentukan ada masa secukupnya untuk bersama tanpa gangguan sesiapa. Sekiranya perlu, matikan handphone anda seketika. Sekiranya tidak, beritahu pemanggil bahawa anda sibuk dan akan menghubunginya semula.

3. Tentukan pasangan anda tahu anda menghargai masa bersamanya. Ucapkan terima kasih dan tunjukkan anda gembira apabila pasangan anda menghabiskan masa bersama anda. Usah mengambil mudah masa yang diberikan. Seseorang yang berasa dihargai akan terus memberikan masa yang diperlukan itu.

4. Rancang aktiviti tersebut. Berbanding pejabat, rumahtangga diuruskan secara informal. Tidak ada peraturan bertulis atau jadual aktiviti khusus. Rumahtangga dibina hasil perkongsian hati dan perasaan. Pun begitu, ia tidak bermaksud aktiviti dalam keluarga tidak perlu dirancang. Suami dan isteri harus duduk dan berbincang mengenai aktiviti-aktiviti bersama sepanjang minggu. Setelah dipersetujui masukkan aktiviti itu dalam diari.

5. Usah berikan alasan. Ingat: orang berjaya memberikan hasil, orang gagal memberikan alasan. Anda mungkin merasakan alasan yang diberikan itu dapat memuaskan hati, namun ada kemungkinan pasangan anda tidak dapat menerima alasan yang anda berikan kerana tidak dapat bersama. Dia mungkin diam, namun itu tidak bererti dia bersetuju. Usah cipta alasan. Carilah masa bersama walau bagaimana sibuknya anda berdua.

Ingatlah bahawa masa bersama ialah sesuatu yang harus diraikan bersama oleh suami-isteri!

1 comments:

Keluarga Kami said...

dlm isu ini, ramai dr kita yg 'take things for granted'. kita patut tgk mcm mana kehidupan pasangan yg x dpt tinggal bersama krn pelbagai sbb spt tugas atau belajar. begitu bersusah payah mrk ni nak dpt waktu untuk berada bersama.

kebykan kita bertuah krn hari2 dpt bersama dgn pasangan sbb tinggal dlm rumah yg sama, jadi apa pentingnya waktu bersama ni?

mmg la hari2 bersama tp klu x de komunikasi mcm mana? tu la yg buat byk rumahtangga berantakan.

renung2 kan & slmt beramal.

Post a Comment